Expect the unexpected.

Assalamualaikum readers.

   2015 merupakan tahun yang sukar buat rakyat Malaysia. Pengenalan GST, penurunan mata wang Ringgit Malaysia, kenaikan harga minyak dan tol dan sebagainya. Tahun 2016, selain daripada penceraian Jejai dan Fasha Sandha, kita digemparkan dengan berita kuota biasiswa JPA dikurangkan untuk pelajar pada masa akan datang. Walaupun ianya hanyalah 'rumours', tetapi jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Sebagai rakyat Malaysia yang baik, kita harus peka dengan apa yang berlaku di dalam dan di luar negara kita. Aku sebagai rakyat Malaysia makin hairan dan pening, ke mana hala tuju negara kita. Sebagai salah seorang peminat dasar Wawasan 2020, aku tidak nampak negara kita menuju ke arah itu. Sebaliknya, hidup kita dihimpit di dalam negara sendiri.

   Terpulanglah samada kita mahu menyalahkan pihak kerajaan, hanya mengenang nasib dan tidak melakukan perubahan sekali gus menyebabkan hidup kita terus dihimpit. Atau kita boleh menjadi cakna dan melihat peluang-peluang yang ada untuk kita ubah hidup kita.

   Dahulu, semasa belajar di sekolah, 'mindset' aku hanya satu, mendapat 9A+ dalam SPM. Aku fikir, jika kita meletakkan target yang tinggi, jika kita tidak mencapainya, tak lah terlalu jauh. Dan aku juga fikir, target semata mata tidak cukup untuk aku berusaha ke arah itu. Jadi, dalam usia yang muda, aku cuba menjangkau fikiran aku kepada kehidupan aku sewaktu bekerja. Bayangkan, aku seorang lelaki dan aku akan menanggung isteri dan anak-anak. Aku juga anak sulung dalam keluarga, jika apa-apa terjadi pada kedua ibu bapa aku, adik-adik akan menjadi tanggungjawab aku. Takkanlah nak sekadar tanggung makan minum sahaja, mesti nak lebih sikit dalam keluarga seperti boleh keluar makan di restoran, beli kereta besar, rumah besar, bermain game yang tiba-tiba jadi mahal nak mampuih. Nak atau tidak, aku kena dapatkan 9A tu. Setiap kali aku fikir perkara ini, aku tergerak untuk belajar.

   Walaupun kita masih di bangku sekolah, kita sebenarnya tidak terlalu muda untuk memikirkan semua ini. Janganlah kita menunggu hari pertama kerja untuk memikirkan semua ini. Alhamdulillah, aku berjaya skor dalam SPM dan berjaya menjadi penerima biasiswa di dalam negara.

    Betul lah apa orang kata, hidup kita ni kadang di atas dan kadang di bawah. Semasa menunggu keputusan SPM, ayah diberhentikan kerja setelah 2 tahun menghidap stroke. Keluarga aku hilang salah satu punca pendapatan. Komitmen rumah yang tinggi memaksa ayah membuat keputusan untuk berpindah ke Terengganu. Tahun itu merupakan tahun yang sukar buat aku.

   Sekarang, rasa-rasa apa yang terjadi jika aku tidak berusaha untuk 9A dan gagal mendapat biasiswa? Semasa belajar, aku langsung tidak menyangka ayah akan diberhentikan kerja. Jika tidak, aku hanya akan menambah kesusahan ayah dengan kos-kos universiti dan sebagainya. Hanya pelajar universiti sahaja yang faham betapa banyaknya duit diperlukan. Masalah-masalah di perenggan atas juga hanya berlaku selepas aku tamat sekolah. Sungguh, aku sangat bersyukur kerana diberi kesedaran untuk berusaha dan mampu mengurangkan beban ayah bila berada di universiti.

   Dalam kehidupan, kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Jadi, kita seharusnya mempersiapkan diri untuk berdepan dengan segala jenis kemungkinan. Jadilah yang terbaik dalam setiap apa yang kita lakukan. Jadilah hambaNya yang terbaik, jadilah pelajar terbaik, jadilah pemain terbaik jika kita bersukan dan sebagainya kerana yang terbaik itu lah mampu selamat dalam apa jua keadaan. Jika kita ragu-ragu dengan kebolehan kita, hmm aku dulu pun pernah, bila aku bagitahu ayah yang aku tak boleh jadi macam kawan aku yang pandai, ayah cakap dia pun makan nasi, ada hidung, ada mulut, suap nasi pakai tangan, ada 24 jam sama macam abang, kenapa abang tak boleh? Nikmat yang tuhan berikan itu sama buat semua orang, tetapi ianya terpulang sepenuhnya kepada kita untuk menggunakan nikmat tersebut untuk mengubah diri sendiri atau hanya menjadi melayu tipikal.